Archive for the ‘Umum’ Category

Kesan Ramadhan

Ramadhan 1428 semakin berlabuh pergi. Adakah mungkin kita akan bertemu lagi pada Ramadhan akan datang?. Apakah berjaya nafsu kita dijinakkan, iman diteguhkan dan takwa dipertingkatkan?. Berjayakah Al-Quran dikhatamkan?. Berjayakah amalan sedekah dan zakat ditunaikan?. Berjayakah solat wajib dan sunat dikerjakan dengan khusyuk dan ikhlas?

Mampukah kekuatan yang dibina sebulan Ramadhan membawa kita  menempuh dugaan setahun lagi?. Mampukah kita melawan keinginan hawa nafsu dan bisikan syaitan?

Semoga ramadhan benar-benar memberi kesedaran, keinsafan, penyesalan, kemaafan, kekuatan, dan kejayaan sebenar kepada kita sebagai muslim sejati.

UPM Farm

Gambar diambil pagi tadi di tepi Ladang UPM, Serdang.

Advertisements

Selamat Menyambut Ramadhan 2007

Assalamualaikum buat semua muslimin muslimat rakan-rakan Netters

Esok (Khamis, 13 September 2007) bermulalah bulan yang sangat-sangat dinantikan oleh seluruh umat Islam iaitu Ramadhan Al-Mubarak. Bulan yang penuh barakah. Bulan di mana ditutup pintu-pintu neraka. Dirantai Iblis. Dibukakan pintu syurga. Bulan di mana ada satu malam yang jika kita dapat beramal pada malam tersebut, ganjaran pahalanya umpama 1000 bulan. Itulah dia malam al-Qadar.

Setiap tahun, apabila munculnya ramadhan, kita pasti tidak akan melepaskan peluang untuk mengunjungi masjid dan surau bagi mengerjakan solat sunat tarawih berjemaah. Natijahnya, kehadiran ramadhan dapat menggamit masyarakat muslim agar berebut-rebut menghayati fadhilat Ramadhan berserta ganjaran yang dijanjikan Allah swt.

Amalan seperti bertadarus, solat sunat, berzikir, bersedekah dan pelbagai lagi amalan makruf lain dapat menambah “saham” kita untuk ke akhirat kelak. Di samping itu, bulan Ramadhan adalah saat di mana kesabaran dan keikhlasan beramal kita akan diuji Allah swt. kerana puasa Ramadhan penilaiannya adalah terus kepada Allah swt.

Bersama-samalah kita menghayati kehadiran Ramadhan al-mubarak ini dengan sikap yang jelas untuk merebut ganjaran pahala berlipat ganda yang dijanjikan. Hatta membaca 1 huruf dari al-Quran pun telah mendapat 10 pahala, apatah lagi kalau kita dapat khatam 30 juzuk al-Quran. Subhanallah, maha suci Allah, Tuhan sekelian alam.

Selamat menyambut Ramadhan dan menghidupkan malam-malamnya dengan amalan sunat yang ikhlas dan khusyuk.